Kerap kali kehadiran orang-orang tua yang tidak dikenali dalam mimpi ku membuatkan aku terfikir siapa mereka. Pertemuan berlaku dalam sebuah masjid yang aku sendiri tidak ketahui dimana masjid itu berada. Sayup kedengaran bunyi bacaan quran dalam masjid tersebut dan senyuman mereka membuatkan aku terpegun. Siapa mereka? Dalam hati kecil ku mungkinkah mereka nenek moyang ku yang terdahulu?
Teringat semasa kecil, ayah sering memberitahu kami adik beradik. Kita ini berasal dari keturunan Syarif Muhammad Al-Baghdadi. Kata ayah dia seorang pendakwah dari Baghdad, Iraq. Sekarang, bila aku sendiri mempunyai anak-anak, sering aku memberitahu sebagaimana yang ayah memberitahu aku dulu.
Tiba-tiba hati kecil aku terdetik untuk menulis sesuatu yang boleh menjadi ingatan pada anak-anak ku, bakal cucu dan cicit ku. Syukur Alhamdullillah akhirnya sempena Maal Hijrah 1432, aku rasa aku sudah bersedia untuk menulis sejarah warisan nenek moyang ku Syarif Muhammad Al-Baghdadi dari penceritaan keluarga dan juga beberapa rujukan bahan bercetak dan media siber yang banyak menceritakan kesah mereka.
Setiap kali meziarahi makam Syeikh Abdul Malik ( Tok Pulau Manis), cucunya Lebai Isa serta ahli keluarga dari keturunannya membuatkan hati aku bergetar, terpaku dan air mata berlinangan. Terasa ingin aku berada di zaman mereka 300 atau 400 tahun lalu. Bukti makam mereka yang kami sentiasa kunjungi dan juga salasilah keluarga yang sentiasa dijaga oleh keturunan lelaki dari keluarga kami, menyebabkan kami amat bersyukur kepada Allah kerana dapat memelihara warisan Syarif Muhammad Al-Baghdadi yang telah tiba di Terengganu pada pertengahan abad ke 15 hingga sekarang.
Syukur Alhamdulllah.
Kuala Terengganu.
6 Muharram 1432/ 12 Disember 2010