Sunday, December 11, 2011

Syarif Muhammad Al-Baghdadi


Enam bulan sebelum pemergian ayahanda tercinta, aku banyak menghabiskan masa bersama-sama dengannya. Terlalu banyak dia bercerita mengenai sejarah keluarga ku. Semua dokumen-dokumen mengenai sejarah keluarga disusun rapi sambil berpesan pada ku supaya aku menulis mengenai sejarah keluarga kami. Setelah dia kembali kepada Allah pada akhir Mei 2011, aku telah kehilangan sumber rujukan utama mengenai sejarah keluarga. Semua ahli keluarga iaitu adik beradiknya juga telah tiada untuk aku membuat rujukan. Tetapi bila mengenangkan janji ku padanya, aku telah berusaha mencari maklumat melalui sumber-sumber lain.

Syarif Muhammad Al-Baghdadi merupakan seorang pendakwah yang berasal dari Baghdad, Iraq. Setelah berlaku suatu peristiwa di Baghdad, beliau telah membawa diri ke Mekah. Daripada Mekah, beliau ke Hadhramaut, Yamen. Syarif Muhammad kemudian tiba di Hulu Terengganu pada pertengahan abad ke 15M. Beliau kemudiannya menyebarkan dakwah Islam kepada penduduk setempat dan terus menetap disana. Beliau meninggal dunia dan dimakamkan di Batu Belah, Hulu Terengganu. Makam tersebut terletak di tebing sebelah kiri sungai mengarah ke Empangan Kenyir. Kedudukan makam tidak jauh bersetentangan dengan kedudukan batu belah yang terdapat sungai tersebut. Tugas-tugas dakwah telah diteruskan oleh anaknya Syarif Abdul Qahhar.

Syarif Abdul Qahhar mempunyai dua orang anak iaitu Abdullah dan Ismail. Setelah beliau pula meninggal dan dimakamkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu, anaknya Syarif Abdullah telah meneruskan usaha dakwah disekitar Hulu Terengganu. Ismail juga merupakan pendakwah tetapi lebih gemar mengembara dan berniaga sehinggalah ke Jawa, Indonesia. Penduduk Terengganu pada masa itu telah mempunyai kemahiran membina kapal-kapal besar yang digunakan untuk perdagangan ke negara-negara seperti Campa (Kemboja) dan Jawa.

Syarif Abdullah mempunyai empat orang anak iaitu tiga orang perempuan yang hanya dikenali sebagai Biyah, Bidah dan Bidatah serta mempunyai seorang anak lelaki iaitu Abdul Malik yang kemudiannya dikenali sebagai Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis seorang ulama Islam yang berwibawa. Di dalam salasilah keluarga tiada sebarang maklumat mengenai ketiga-tiga anak perempuan Syarif Abdullah. Tetapi hati kecil aku berkata mungkin mereka juga mempunyai sejarah keluarga masing-masing dan besar kemungkinan warisan keluarga berada disekitar Hulu Terengganu. Syarif Abdullah juga meninggal dunia dan dimakamkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu.

Kuala Terengganu.

14 Muharram 1433/ 11 Disember 2011

Sunday, December 12, 2010

Warisan Syarif Muhammad Al-Baghdadi

Kerap kali kehadiran orang-orang tua yang tidak dikenali dalam mimpi ku membuatkan aku terfikir siapa mereka. Pertemuan berlaku dalam sebuah masjid yang aku sendiri tidak ketahui dimana masjid itu berada. Sayup kedengaran bunyi bacaan quran dalam masjid tersebut dan senyuman mereka membuatkan aku terpegun. Siapa mereka? Dalam hati kecil ku mungkinkah mereka nenek moyang ku yang terdahulu?

Teringat semasa kecil, ayah sering memberitahu kami adik beradik. Kita ini berasal dari keturunan Syarif Muhammad Al-Baghdadi. Kata ayah dia seorang pendakwah dari Baghdad, Iraq. Sekarang, bila aku sendiri mempunyai anak-anak, sering aku memberitahu sebagaimana yang ayah memberitahu aku dulu.

Tiba-tiba hati kecil aku terdetik untuk menulis sesuatu yang boleh menjadi ingatan pada anak-anak ku, bakal cucu dan cicit ku. Syukur Alhamdullillah akhirnya sempena Maal Hijrah 1432, aku rasa aku sudah bersedia untuk menulis sejarah warisan nenek moyang ku Syarif Muhammad Al-Baghdadi dari penceritaan keluarga dan juga beberapa rujukan bahan bercetak dan media siber yang banyak menceritakan kesah mereka.

Setiap kali meziarahi makam Syeikh Abdul Malik ( Tok Pulau Manis), cucunya Lebai Isa serta ahli keluarga dari keturunannya membuatkan hati aku bergetar, terpaku dan air mata berlinangan. Terasa ingin aku berada di zaman mereka 300 atau 400 tahun lalu. Bukti makam mereka yang kami sentiasa kunjungi dan juga salasilah keluarga yang sentiasa dijaga oleh keturunan lelaki dari keluarga kami, menyebabkan kami amat bersyukur kepada Allah kerana dapat memelihara warisan Syarif Muhammad Al-Baghdadi yang telah tiba di Terengganu pada pertengahan abad ke 15 hingga sekarang.

Syukur Alhamdulllah.

Kuala Terengganu.

6 Muharram 1432/ 12 Disember 2010